KUALA LUMPUR – Hanya enam outlet Karyaneka yang menjana keuntungan manakala 11 lagi rugi.

Sebanyak enam outlet telah ditutup pada tahun 2014 dan dua lagi outlet pada tahun 2015, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016.

Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. (Karyaneka) merupakan subsidiari milik penuh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Laporan itu berkata, jualan pasaran runcit, korporat dan saluran lain adalah kurang memuaskan kerana pendapatan dan keuntungan kasar tidak mencapai sasaran.

Menurutnya, produk yang kurang laris dan tidak laku di setiap outlet adalah tinggi iaitu berjumlah RM338,144 yang mana stok produk pakaian 1Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM125,807 (37.2 peratus).

Laporan itu berkata, sungguhpun Karyaneka mengalami penurunan keuntungan sebelum cukai bagi dua tahun berturut-turut iaitu 2014 dan 2015, namun ia masih mencatatkan keuntungan terkumpul berjumlah RM1.09 juta dan kedudukan tunai syarikat pada akhir tahun adalah baik. – MalaysiaGazette