KUALA LUMPUR – “Akuilah zaman selepas kita juga hebat,” demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ahmad Zahid berkata, masyarakat tidak perlu lagi bernostalgia dengan era kepimpinan Mahathir, malah perlu terus memandangkan ke hadapan demi kelangsungan Malaysia pada masa akan datang.
“Kalau kita ada di persada kekuasaan dan kepimpinan yang lebih dua dekad dan berasakan kehilangan zaman itu terlalu hebat tetapi jika zaman kita telah berlalu, akuilah bahawa zaman-zaman selepas kita juga hebat.
“Harus diakui tidak ada yang baru, jika tidak ada yang lama. Tidak ada yang lama, maka tidak akan ada yang baru. Yang lama menyayangi yang baru, yang baru menghormati yang lama,” katanya dalam ucapan perasmian Residensi RAH di Kampung Baru hari ini.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dan Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.
Barisan kepimpinan negara antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mempersoalkan niat Mahathir menyertai pembangkang dan cuba untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah dipimpin bekas perdana menteri itu selama 22 tahun.
Semalam, Najib menegaskan menukar kerajaan yang sedia ada bukanlah jaminan dan jalan penyelesaian terbaik kepada semua masalah, malah dikhuatiri akan lebih memudaratkan negara dan rakyat.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, jika Mahathir terus bernostalgia beliau akan dianggap tidak lagi relevan.
“Itu sikap yang harus ada dalam Islam, pada orang Malaysia. Sepatutnya begitu. Kalau kita bernostalgia dengan keadaan yang lama, dan kita tepis apa yang baru maka dirinya tidak lagi relevan,” katanya. – MalaysiaGazette