Home Ekonomi PNB beli Seriemas Development pada harga RM625j

PNB beli Seriemas Development pada harga RM625j

KUALA LUMPUR – Sime Darby Bhd. melalui unit Sime Darby Property Bhd, melupuskan keseluruhan kepentingannya dalam sebuah syarikat hartanah kepada unit Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada harga RM625 juta.

Sime Darby Property telah menandatangani Perjanjian Jualan Saham untuk pelupusan keseluruhan 40 peratus kepentingan ekuiti di Seriemas Development Sdn Bhd (SDSB) yang terdiri daripada satu juta saham biasa kepada PNB Development Sdn Bhd (PNBD).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata, pertimbangan itu dicapai antara kedua-dua pihak selepas mengambil kira nilai pasaran tanah dan hartanah pelaburan yang dimiliki oleh SDSB sebanyak RM2.79 bilion.

Ia juga berdasarkan penilaian 40 peratus kepentingan ekuiti Sime Darby Property dalam SDSB pada 31 Mac 2017 sebanyak RM1.23 bilion mengikut laporan penilaian bertarikh 31 Julai 2017 oleh KPMG dan dividen tunai RM120 juta yang diterima oleh Sime Darby Harta daripada SDSB pada 30 Jun 2017.

Ia mewakili diskaun sebanyak 39.4 peratus kepada RNAV SDSB.

Katanya, kos pelaburan asal Sime Darby dalam SDSB ialah RM449 juta.

SDSB adalah syarikat persendirian yang mana Sime Darby memegang kepentingan secara tidak langsung sebanyak 40 peratus melalui Sime Darby Property dan bakinya oleh PNB melalui PNBD.

Kumpulan itu berkata, cadangan pelupusan itu tidak dijangka memberi kesan material ke atas aset bersih sesaham dan gearan Sime Darby yang disatukan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018.

Tambahnya, PNB yang mempunyai kaitan dengan ASB adalah pemegang saham utama yang memegang 6.06 peratus kepentingan dalam Sime Darby dan PNB menguasai 100 peratus kepentingan ekuiti dalam PNBD.

Manakala ASB adalah pemegang saham utama dan memiliki kepentingan terbesar dalam Sime Darby dengan 41.14 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast