KUALA LUMPUR – Senarai calon-calon MCA pada PRU-14 kini dalam peringkat akhir penilaian, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.
Menurutnya, partinya sudah melakukan persiapan rapi daripada segi penyediaan calon yang benar-benar berkualiti di semua peringkat cawangan, bahagian dan kepimpinan tertinggi MCA.
“Kita sedang melaksanakan soal selidik orang awam sebelum memuktamadkan (finalise) senarai lengkap calon untuk tindakan lanjut (pertimbangan Perdana Menteri).
“Dalam perkembangan ini kita perlu memastikan rakyat memahami agenda transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan serta boleh menerima calon kami untuk diketengahkan sebagai mewakili mereka dan bertanding pada PRU-14 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Festival Kesenian Blossom Malaysia 2017 yang akan bermula hari in hingga 31 Ogos ini di Wisma MCA, Jalan Ampang bersama Timbalan Presidennya Datuk Seri Wee Kah Siong dan Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas.
Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA juga tidak akan mempunyai perubahan pada kerusi tradisional yang dimiliki selama ini menjelang PRU-14 kali ini.
“Setakat ini tidak ada perubahan daripada segi kerusi tradisional yang dimiliki MCA,” ujarnya lagi.
Pada perkembangan lain beliau berkata MCA bersama komponen BN menyampaikan agenda pembangunan rakyat yang dibawa kerajaan.
“Kita sangat serius dalam mendahulukan rakyat pada masa yang sama membongkar rahsia pembangkang dan Pakatan Harapan (PH) juga menghadapi kehancuran seperti Pakatan Rakyat kerana masih tidak bersepakat dan bersatu seperti konsensus BN.
“BN kukuh dengan kerjasama dan persefahaman bersifat konsensus dalam apa juga pendapat dan perbincangan mencapai kata putus bersama dan meyakinkan tetapi tiada dalam PH.
“PH yang dibentuk hari ini tidak relevan dan boleh bercerai bila-bila sahaja,” tegarnya lagi. – MalaysiaGazette