Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak melihat cadangan supaya menggubal Tatacara Disiplin Murid Peraturan-peraturan Pelajar (Disiplin Sekolah) 1959 dan Akta Kanak-Kanak sebagai keperluan mendesak.

Ini kerana, mengikut laporan kementerian itu dan Kementerian Pendidikan berhubung kes buli melibatkan kanak-kanak sekolah menunjukkan trend menurun iaitu dari 0.08 peratus kepada 0.06 peratus dalam tempoh lima tahun dari 2012 hingga 2016.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, penggubalan akta itu tidak perlu kerana kementeriannya sentiasa melakukan penambahbaikan termasuk melaksanakan program advokasi secara berterusan bersama agensi bawah Kementerian Pendidikan dan polis.

“Lembah Pantai mencadangkan supaya Tatacara Disiplin Murid Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 dan Akta Kanak-kanak dikaji dan dipinda dan suatu akta anti buli diadakan.

“Kerajaan berpandangan buat masa ini perundangan yang terpakai bagi mengawal selia dan memantau isu buli adalah mencukupi,” katanya pada sesi Kamar Khas di Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan daripada Nurul Izzah yang mendakwa, kebimbangan ibu bapa terhadap anak mereka di institusi pengajian semakin menjadi-jadi apabila jenayah buli di negara ini menjadi perhatian utama pelbagai pihak.

Katanya, dari 2012 hingga 2015, Menteri Pendidikan menyatakan lebih 14,000 kes jenayah buli dilaporkan di seluruh negara dengan majoriti kes itu diperlakukan secara fizikal.

“Penganiayaan fizikal ini memberi kesan jangka panjang kepada tubuh badan pelajar beserta parut mental dan emosional yang berlarutan sehingga masa hadapannya,” kata Nurul Izzah.

Menjelaskan lebih lanjut, Rohani memberitahu, berdasarkan rekod polis sebanyak 2,322 kes buli melibatkan pelajar dari tahun 2012 hingga Jun lalu, penurunan sebanyak 846 kes atau 22.1 peratus kepada 332 kes bagi tahun 2016.

Untuk makluman Lemabh Pantai, katanya, Tatacara Disiplin Murid Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 dan Akta Kanak-kanak hanya terpakai masing-masing di sekolah iaitu bagi kanak-kanak berumur bawah 18 tahun tidak dipanjangkan ke peringkat remaja yang berumur 18 tahun ke atas dan di luar persekolahan.

“Kementerian saya memandang serius kes buli melibatkan kanak-kanak. Mereka berhak mendapat perlindungan daripada sebarang bentuk keganasan dan layanan buruk sama ada secara fizikal atau emosi sebagaimana digariskan bawah artikel 19, Konvension Mengenai Hak Kanak-Kanak,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, tingkah laku buli adalah perilaku sosial yang amat kompleks dan melibatkan pelbagai pihak seperti kanak-kanak itu sendiri, ibu bapa, masyarakat serta persekitaran.

“Antara puncanya ialah menunjuk gaya (power play), tiada kasih sayang dan meniru perangai dari orang dewasa dan sebagainya.

“Dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 0.02 peratus murid terlibat dalam gejala tersebut, tetapi tiada kes melibatkan kematian akibat perbuatan buli dalam kawasan sekolah dalam tempoh 2012 hingga sekarang,” katanya.

Katanya lagi, di bawah Akta Kanak-Kanak tahun 2001, mereka yang mempunyai kecenderungan sebagai pembuli boleh ditempatkan di asrama akhlak untuk diberikan intervensi sewajarnya.

“Bagi kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang pula, mahkamah boleh memerintahkan mereka mengikuti program yang dilaksanakan di Sekolah Tunas Bakti, Sekolah Henry Gurney atau melaksanakan perintah khidmat masyarakat bagi tujuan pemulihan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast