KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menghentikan semua permohonan pertukaran lesen memandu negara asing ke Lesen Memandu Malaysia (LMM) berkuat kuasa 19 Mei ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, warga asing yang memerlukan LMM dikehendaki menjalani tatacara mendapatkan lesen tersebut seperti prosedur sedia ada, sebagaimana dilalui semua rakyat Malaysia.
Bagaimanapun katanya, antara kategori pemohon yang tidak terjejas oleh perubahan itu adalah individu di bawah kor diplomatik, peserta Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan warga Malaysia yang memperolehi lesen memandu negara asing sebelum daripada memegang LMM.
“Warganegara asing yang berada di Malaysia untuk tempoh masa sementara iaitu kurang daripada 12 bulan, adalah tertakluk kepada perkara iaitu bagi negara Pejanji kepada Konvensyen mengenai Lalulintas Jalan Raya, Geneva (Konvensyen 1949) dan Konvensyen mengenai Lalulintas Jalan Raya 1968, Vienna (Konvensyen 1968), individu daripada negara berkenaan dibenarkan untuk memandu dengan menggunakan Permit Memandu Antarabangsa atau Permit memandu antarabangsa (IDP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Negara Pejanji berkenaan .
“(dan) bagi warganegara dari negara ASEAN, individu berkenaan hanya perlu menggunakan lesen memandu negara asal, selaras dengan ketetapan di bawah Perjanjian Mengiktiraf Lesen Memandu Domestik Dikeluarkan oleh Negara ASEAN 1985,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Aedy Fadly, penambahbaikan itu adalah salah satu usaha dan komitmen kerajaan Madani untuk meningkatkan aspek keselamatan jalan raya dan memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan. – MalaysiaGazette
















