Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Satu memorandum bagi usaha terakhir menyelamatkan pusat beli-belah Ampang Park akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu dinyatakan Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd. Ridzuan Abdullah yang memberitahu, memorandum itu akan diserahkan ke pejabat Perdana Menteri pada 24 Ogos ini.

Menurutnya, langkah itu dibuat atas alasan Barisan Nasional (BN) akan mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum di dua kawasan iaitu Parlimen Titiwangsa dan Setiawangsa.

“Pekira bimbang apabila Ampang Park roboh pada PRU-14 nanti Parlimen Titiwangsa dan Setiawangsa akan mengalami kekalahan besar.

“Kita lihat pengundi-pengundi Melayu di sini telah dihasut oleh pembangkang di mana isu Ampang Park mereka kaitkan dengan MRT.

“Kita minta Perdana Menteri tangguh dan tunggu akta baru digazetkan,” katanya pada sidang media di Ampang di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia berkata, pembangkang sememangnya suka dengan isu berkaitan Ampang Park dan akan menggunakannya sebagai senjata politik.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan agar pembangkang tidak sesekali diberi peluang untuk berada dalam jawatankuasa di dalam MRT.

Ini kerana dakwanya, pakatan pembangkang telah banyak merosakkan usaha MRT selama ini dan tidak wajar untuk mereka diberikan tempat.

“Buat apa nak bagi mereka berada di dalam jawantankuasa itu. Mereka cuma nak ambil kesempatan sahaja.

“Sebelum ini Ahli Parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar mahu pembangkang dilibatkan dalam projek MRT ini. Dulu mereka bising bila projek MRT nak buat, tapi sekarang mereka mahu dilibatkan pula,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Ridzuan berkata, pada masa ini Pejabat Tanah dan Galian masih berbincang mengenai pampasan dengan pemilik dan peniaga jika pusat beli belah itu dirobohkan.

Katanya, perbincangan sebelum ini tidak dipersetujui oleh mereka berikutan jumlah pampasan yang hendak diberikan tidak setimpal dengan pasaran semasa.

“Peniaga tidak puas hati dengan nilai pampasan yang ditawarkan kerana terlalu rendah.

“Mereka ini sebenarnya bukan nak pampasan sebaliknya mahu supaya Ampang Park tidak dirobohkan. Itu saja,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast