MIRI – Seorang ibu maut manakala bayi perempuannya berusia sebulan cedera parah apabila kereta sedan dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Bakam pada 7.05 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Fatin Liyana Jafri, 23, manakala bayinya, Aifa Fhanieyra Aqilla Muhammad Adeni Jeludin, mengalami pendarahan dalam kepala.

“Bayi tersebut sudah dihantar ke Hospital Miri untuk pemerhatian dan suami mangsa yang berusia 22 tahun dan juga pemandu kenderaan itu turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya di sini hari ini.

Stanley berkata, ketika kejadian kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu suami mangsa yang sedang menghala ke Bintulu, cuba memotong sebuah motosikal dari arah sebelah kiri, namun gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax.

“Bagaimanapun pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak cedera dan penumpangnya hanya mengalami cedera ringan,” katanya lagi.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast