Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan replika cek sumbangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua kanan) pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan NGO Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Skor Indeks Syariah Malaysia bagi tahun ini meningkat kepada 76.06 peratus berbanding 75.42 peratus tahun 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gembira dengan peningkatan sebanyak 0.64 peratus  yang jelas membuktikan kejayaan kerajaan mentadbir negara ini selaras dengan konsep maqasid syariah.

Beliau berkata, peningkatan skor indeks itu ketara dalam empat bidang iaitu kesihatan, prasarana dan persekitaran, ekonomi serta sosial manakala bidang lain juga masih berada pada tahap memberangsangkan.

“Indeks Syariah Malaysia ini adalah projek yang amat dekat di hati saya. Alhamdulillah, atas keprihatinan dan kesungguhan kerajaan, hari ini Indeks Syariah Malaysia berjaya dilaksanakan secara berperingkat dengan begitu teratur dan strategik sekali.

“Banyak gerak kerja dan tindakan penambahbaikan telah dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pelbagai kementerian bagi memastikan indeks yang berpaksikan kepada maqasid syariah ini dilaksanakan sebaik mungkin.

“Peningkatan ini membuktikan kita bukan hanya bercakap kosong, kita telah melaksanakannya secara strategik dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perdana Ulama Umarak dan NGO Islam bersama Perdana Menteri dan Pembentangan Indeks Syaiah Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini hari ini.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah Tokoh NGO Islam kepada Zamri Mohd. Isa bagi kategori Belia, Dr. Fauziah Mohd Hasan (Wanita) dan Ismail Mina Ahmad (Lelaki) manakala Mufti Perlis, Tan Sri Harussani Zakaria dianugerahkan Tokoh Ulama Sepanjang Zaman.

Masing-masing menerima piala, sijil penghargaan dari Perdana Menteri dan pakej mengerjakan umrah.

Menurut Najib, sebanyak 13 kementerian dan jabatan telah menubuhkan Sekretariat Indeks Syariah bagi memastikan dasar yang dilaksanakan selaras dengan maqasid syariah.

Kata beliau, sebanyak enam universiti awam dengan pelbagai kepakaran juga telah bersama dengan JAKIM melaksanakan penyelidikan yang sangat komprehensif tahun ini, untuk memastikan suara semua peringkat rakyat dapat disampaikan secara tepat kepada kerajaan.

“Melalui penyelidikan Indeks Syariah Malaysia yang telah dijalankan pada 2015, skor Indeks Syariah Malaysia 2015 secara keseluruhannya dan kali pertama berjaya dihasilkan adalah sebanyak 75.42 peratus bagi lapan bidang utama dalam pentadbiran negara.

“Walaupun ia berada pada tahap memuaskan iaitu melebih 70 peratus namun kerajaan tetap komited dan berusaha dalam memastikan dapatan penyelidikan itu diambil tindakan dan penambahbaikan dilakukan secara berterusan.

“Kita mahu supaya impak pelaksanaannya dapat dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Mengenai peranan ulama dan umarak, beliau memberitahu, gabungan kepakaran antara golongan itu mesti sentiasa seiring dalam membina dasar, pelaksanaan program serta proses pembinaan modal insan negara.

Sehubungan itu, kata Najib, ulama dan umarak sebagai komponen terpenting dalam negara perlu tampil dengan suara jelas serta meyakinkan untuk menilai situasi sebenar negara.

“Jika penjelasan yang diberikan oleh kerajaan diperkukuhkan lagi oleh suara ulama dan umara yang dilihat lebih neutral, sudah tentu ianya akan lebih mudah difahami dan diterima masyarakat.

“Kita juga mempunyai banyak NGO sentiasa membantu dan bersama dalam bidang pendidikan, kebajikan, kemanusiaan, ekonomi, kepenggunaan dan pelbagai bidang lagi.

“Tanpa sumbangan dan bantuan golongan ini, sudah tentu kerajaan tidak mampu memenuhi semuanya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette