Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan NGO Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri hari ini mengumumkan subsidi ibadah haji kekal RM9,570 tiap seorang bakal jemaah setiap tahun.

Datuk Seri Najib Razak berkata, subsidi itu kekal selagi beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

“Sejak saya jadi Perdana Menteri, saya tak (akan) naikkan tambang haji. Ia (subsidi) kekal kepada RM9,570 seorang.

“Melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seramai 5,711 orang diberi peluang mengerjakan ibadah haji yang kita taja sepenuhnya, termasuk sumbangan sepanjang mereka berada di tanah suci Mekah,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Majlis Perdana Ulama Umarak, NGO Islam bersama Perdana Menteri dan Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 di Dewan Putra B, Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Dalam ucapannya juga, Najib berkata, beliau sentiasa prihatin dan mengambil berat agenda Islam dalam pentadbirannya dengan menaikkan elaun imam kepada RM850 sebulan melibatkan kira-kira 15,000 imam.

Di samping itu, ujar beliau, kerajaan juga turut menaikkan elaun kepada 33,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) kepada RM900 sebulan dan memperuntukan RM500 secara one-off kepada hampir 16,000 bilal serta siak di seluruh negara.

“Saya juga memperuntukan bantuan sepenuhnya kepada institusi pondok dan tahfiz seluruh negara sebanyak RM50 juta serta RM30 juta diperuntukan bagi penyelarasan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, termasuk RM50 juta kepada Seolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Kerajaan juga menerusi konsep Maqasih Syariah banyak memperkenalkan dasar baharu bagi memartabatkan penghayatan Islam dan sekali gus memantapkan tadbir urus negara,” katanya.

Beliau turut memberitahu, beberapa negara di dunia telah meletakkan Malaysia sebagai negara Islam contoh dalam banyak aspek pentadbiran.

“Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi diberikan kepada Malaysia kerana kita sentiasa aman dan stabil dari segi politik dan ekonomi.

“Semasa lawatan kerja saya ke China dan India, kita berjaya menarik pelaburan besar dan strategik berjumlah RM144 bilion dari China dan RM158.4 bilion dari India,” katanya.

Katanya, baru-baru ini juga beliau dikunjungi Mufti Tunisia, Sheikh Rachid Al-Ghannouchi yang menyatakan amat tertarik dengan negara ini dan memberitahu, Malaysia berjaya memberi imej positif sebuah negara Islam membangun yang disegani masyarakat dunia, walaupun mempunyai masyarakat majmuk. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast