Presiden Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A.Chandrakumanan menunjukkan poster selepas sidang media sempena Pelancaran Program "Say No" Geajala Displin/Buli di Sekolah dan Kalangan Murid-murid di Pejabat PAR Malaysia, Segambut, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Bagi mengurangkan kadar buli dan kemerosotan disiplin pelajar, Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) merangka menubuhkan badan penguatkuasaan anti buli di peringkat sekolah.

Menurut Presiden PAR, Datuk A . Chandrakumanan, tujuan badan penguatkuasaan itu adalah bagi mengurangkan penglibatan belia dan kanak-kanak dalam aktiviti buli di kalangan masyarakat India.

“Keutamaan program ini ialah untuk membantu belia dan kanak-kanak keturunan India dalam mengendalikan tingkah laku disiplin, keruntuhan nilai diri, ancaman kepada rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.

“Melalui program ini PAR sebagai sebuah NGO berhasrat untuk mengurangkan penglibatan belia dan kanak-kanak dalam jenayah melalui penyelarasan mesyuarat permuafakatan bersama-sama agensi kepentingan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Pendidikan,” katanya dalam sidang media pelancaran program Katakan tidak, Gejala Disiplin/Buli di Sekolah dalam kalangan murid-murid di Pejabat Aduan Rakyat di Segambut hari ini.

Ia akan dirasmikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar minggu depan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

Program itu mendapat kerjasama PDRM dan juga Kementerian Pendidikan.

Malah, badan khas itu juga akan memberikan fokus kepada perkhidmatan kaunseling dan bimbingan yang lebih mesra serta memberikan fokus perkhidmatan kepada aspek pembangunan sahsiah dan disiplin murid.

Seramai 960 murid daripada 117 sekolah akan terlibat dalam pemantauan badan penguatkuasaan terbabit yang terdiri daripada 102 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 15 buah sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan.

“Statistik buli di kalangan remaja sangat tinggi. Kita kena fokus kepada mengapa aktiviti ini boleh berlaku. Isu yang tidak ada penyelesaian sehingga hari ini.

“Jadi PAR mengambil inisiatif sebagai pertubuhan komuniti untuk memainkan peranan penting ini untuk mengurangkan kadar kes buli di negara ini,” katanya lagi.

Turut akan dilancarkan satu laman web berkait rapat dengan aktiviti buli.

Ia bagi mendapatkan maklumat dan aduan daripada mangsa buli dan disiplin di sekolah agar gejala di kalangan remaja ini dapat dibendung.

Fokus diberikan kepada murid berumur 11 hingga 16 tahun yang menyumbang kepada kes ini daripada terus meningkat dari masa ke semasa.

Badan penguatkuasaan ini akan bergerak ke seluruh negara mengikut zon sekolah masing-masing.

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat lebih daripada 14,000 kes buli di sekolah-sekolah di seluruh negara antara tahun 2012 dan tahun 2015 dan sebahagian besar melibatkan penderaan fizikal. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast