KUALA LUMPUR – Seorang hakim Mahkamah Tinggi hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman difailkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Kerajaan bagi memohon supaya dilepaskan dan dibebaskan dari penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes berkenaan dengan dihadiri peguam N.Surendran dan Latheefa Koya yang mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajudin bertindak bagi pihak kerajaan selaku defendan.

Surendran memberitahu pemberita bahawa hakim itu menarik diri atas alasan beliau tidak sesuai mendengar kes itu kerana pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pernah dimaklumkan oleh Pengarah Siasatan Jenayah ketika itu berhubung kes liwat kedua pada Julai 2008.

Dalam alasan bertulisnya, hakim itu menyatakan beliau tidak pernah campur tangan dalam siasatan kes liwat itu kerana ia urusan polis.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Anwar, memfailkan saman itu pada 17 April lepas, antaranya memohon perintah supaya keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 diketepikan atas sebab penipuan yang didakwa dilakukan oleh Mohd Saiful, iaitu saksi utama pendakwaan.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskannya serta mensabitkan dan menghukumnya dengan penjara lima tahun dan Mahkamah Persekutuan pula menolak rayuannya pada 10 Feb 2015 dan mengekalkan sabitan dan hukuman itu.

Beliau mendakwa, Mohd Saiful telah memberi keterangan sumpah bohong yang diketahui defendan sebagai palsu, namun defendan bergantung serta meneruskan penggunaan keterangan sumpah bohong Mohd Saiful untuk kelebihan sendiri.

Beliau juga mendakwa, defendan mempunyai pengetahuan bahawa perbuatan liwat yang dikatakan berlaku oleh Mohd Saiful tidak pernah berlaku atau tidak mungkin berlaku berdasarkan keterangan yang diberikan oleh bekas pembantunya itu.

Disebabkan penipuan itu, Anwar mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah terbatal dan tidak sah dan boleh diketepikan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan 1950 selain turut memohon kos, dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. – Bernama