Jalan pusingan U yang telah siap dibina namun masih belum dapat digunakan orang ramai ketika tinjauan wartawan Malaysia Gazette di Jalan Cheras Lama, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2017.

KAJANG – Jalan sudah siap tapi belum boleh dilalui.

Itu yang berlaku di satu persimpangan di Jalan Cheras di sini apabila sebatang jalan untuk membuat pusingan U yang telah siap sejak beberapa bulan lalu masih belum dibuka untuk orang ramai.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna yang mahu menggunakan pusingan U di situ kerana mereka sememangnya mengharapkan agar jalan yang telah siap itu dibuka.

Tinjauan MalaysiaGazette di jalan berkenaan mendapati, pihak penyelenggara meletakkan kon halangan di susur keluar jalan teresebut dengan tujuan menghalang kenderaan menggunakan jalan itu.

Seorang pengguna Shanti Seri Dewi Shamsir, 34, mempersoalkan perkara itu dan menyifatkan langkah penyelenggara jalan berkenaan meletak halangan di pusingan U itu sebagai tidak masuk akal.

Shanti Seri Dewi Shamsir

Katanya, jalan tersebut sepatutnya sudah dibuka untuk kegunaan ramai ekoran kerja-kerja pembinaannya telah lama siap.

“Saya tak faham kenapa mereka meletakkan halangan pada pusingan U itu.

“Kalau dilihat sudah tidak ada lagi kerja-kerja oleh pihak kontraktor di situ dan keadaan jalan juga baik.

“Sampai bila mereka hendak tutup jalan itu daripada boleh dilalui,” katanya.

Seorang lagi pengguna Agusami Joni, 32, berkata, pembinaan pusingan U di bawah jejambat lebuh raya Cheras-Kajang itu sememangnya perlu bagi mengelak berlakunya kesesakan terutama di bawah jejambat berkenaan pada waktu puncak.

Agusami Joni

Bagaimanapun katanya, meskipun pusingan U itu telah siap dibina namun, jika diletakkan halangan untuk tidak membenarkan kenderaan melaluinya ia seperti tidak berguna.

“Kenapa mesti nak dihalang jalan yang telah siap dibina. Buka sajalah jalan itu supaya kami penggunan boleh melaluinya.

“Sekarang ini kami terpaksa menempuh lampu isyarat yang memakan masa lebih daripada lima minit hanya semata-mata mahu membuat pusingan U.

“Itu belum lagi ditambah dengan kesesakan bila banyak kenderaan kerana persimpangan itu turut digunakan oleh mereka yang menghala ke Jalan Cheras lama,” ujarnya.

Seorang peniaga, Gusmiati Abdullah, 46, berkata, pengguna yang melalui jalan itu mengalami keadaan sukar terutama pada waktu puncak seperti tengahari dan petang.

Gusmiati Abdullah

Ini kerana katanya, kenderaan yang hendak menghala ke Semenyih dari arah Saujana Impian akan membuat pusingan U di bawah jejambat berkenaan dan mereka terpaksa berhenti di persimpangan lampu isyarat di situ.

“Memang sesaklah keadaannya, lebih-lebih lagi kalau pada waktu tengahari kerana ibu bapa yang mahu ambil anak dari sebuah sekolah menengah di sini ditambah pula mereka yang keluar dari sebuah pusat beli belah berhampiran persimpangan jejambat di situ.

“Sebagai pengguna, saya harap pihak yang berkenaan dapat membuka jalan itu demi kemudahan bersama,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja penyelenggara di situ, Mopizur Muslim, 32, warga Bangladesh ketika ditemui berkata, jalan itu ditutup kerana masih ada lagi kerja-kerja penyelengaraan di lakukan melibatkan landskap.

Mopizur Muslim

“Kadang-kadang jalan ini kita buka, tapi disebabkan ada kontraktor potong rumput dan buat kerja sikit-sikit jadi kita tutup sajalah,” ujarnya.

Bagaimanapun usaha MalaysiaGazette untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kawasan Hulu Langat berhubung perkara tersebut gagal ekoran nombor telefon pejabat yang dihubungi tidak berjawab sehingga berita ini ditulis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast