KETUA Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim (tengah) menyerahkan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad bagi menggesa SPRM membantu mahkamah supaya proses perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dapat disegerakan.

PULAU PINANG – Pemuda UMNO Pulau Pinang menggesa SPRM membantu mahkamah supaya proses perbicaraan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersabit dua tuduhan rasuah dapat disegerakan.

Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim berkata, ketika ini. Guan Eng dilihat menggunakan pelbagai peluang dan ruang dalam sistem perundangan negara untuk melengah-lengahkan perbicaraan kes beliau.

Tindakan itu, kata beliau, adalah tidak adil terutama kepada penduduk negeri ini yang berharap untuk mendapatkan kebenaran berhubung dakwaan salah guna kuasa yang dihadapi ketua kerajaan negeri.

“Sebab itu kita berharap SPRM menerusi pelbagai cara yang ada, dapat membantu menyegerakan perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Guan Eng supaya kebenaran akhirnya terjawab,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai beberapa ahli Pemuda UMNO negeri menyerahkan memorandum desakan itu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Guan Eng ketika ini berdepan dua tuduhan rasuah di mahkamah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagaimanapun, perbicaraan kes beliau bersama seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon ditangguhkan berikutan beliau mencabar Seksyen 62 Akta SPRM 2009 yang dikenakan terhadapnya sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dalam pada itu, Rafizal turut mendesak Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri segera memandangkan beliau sudah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hasil inisiatif SPRM hari ini.

Menurut beliau, tindakan Guan Eng menandatangani IBR itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen negeri untuk tidak terikat dengan mana-mana amalan rasuah sekali gus bertentangan dengan pertuduhan rasuah yang dihadapi Ketua Menteri berkenaan ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast