Pengerusi Lembaga Yayasan Amanah dan Yayasan 1 Malaysia, Dr.Chandra Muzaffar berucap pada Sesi Penyampaian dan Dialog Menyurat Wasiat Yang Tersirat di Hotel Marriott, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI 5 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Pendidikan formal di peringkat sekolah semata-mata tidak akan berjaya memupuk nilai-nilai moral dalam kalangan pelajar sekiranya cabaran kemasyarakatan yang lebih besar tidak diberi perhatian.

Pengerusi Lembaga Yayasan Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar berkata, perubahan-perubahan kepada isi kandungan dan struktur pendidikan formal dan bukan formal harus dikemukakan demi kesejahteraan generasi muda dan generasi akan datang.

“Sebagai langkah awal, perancang-perancang pendidikan harus mengkaji secara mendalam sistem-sistem pendidikan tertentu yang lebih berjaya dalam menyemai nilai-nilai murni.

“Ia meliputi aspek komitmen kepada keadilan untuk mereka yang memerlukan pembelaan; sikap keehsanan kepada yang daif dan lemah; mengutamakan kesejahteraan masyarakat daripada kepentingan individu dan lebih menghargai kerjasama daripada persaingan,” katanya.

Chandra berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara:Kearah Wasiat Lebih Tersurat di sini hari ini.

Konvensyen selama dua hari bermula hari ini anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah Majlis Dakwah Negara membincangakan kefahaman tentang konsep dan kedaulatan Raja di Malaysia.

Selain itu, objektif konvensyen juga adalah untuk menjana idea bagi memantapkan peranan institusi Raja dalam pembangunan dan peradaban negara serta memperkukuh institusi Raja-Raja Melayu sebagai pasak negara.

Menerusi kertas kerja itu juga Chandra menjelaskan, kegagalan kita menegakkan nilai-nilai moral dengan baik mungkin disebabkan oleh beberapa faktor.

Katanya, antara faktor tersebut adalah proses urbanisasi yang pesat serta mencabar keutuhan komuniti dan sistem kekeluargaan tradisional; situasi keluarga dan perumahan golongan berpendapatan rendah di bandar; ibu bapa yang mengabaikan tanggungjaswab terhadap anak-anak kerana kesibukan serta sistem persekolahan yang lebih mementingkan pencapaian peperiksaan daripada akhlak pelajar.

Perkara lain yang turut mempengaruhi kata beliau, pengaruh media yang membawa unsusr-unsur hidup yang negatif serta mengutamakan materialisme dan hiburan tanpa batasan disamping akses mudah kepada media baharu yang berkisar kepafda individualisme dan egoisme juga boleh mengetepikan kesejahteraan masyarakat.

Justeru katanya, dalam menghadapi realiti baharu, nilai-nilai sejagat yang termaktub dalam falsafah agama Islam dan hampir semua falsafah agama harus diberi nafas baharu melalui pendidikan formal dan bukan formal.

Jelasnya, pendidikan dalam konteks ini harus memberi penekanan kepada insan sebagai insan yang tidak hanya terikat kepada budaya atau negara atau negara tertentu.

“Pendidikan yang berpaksikan nilai-nilai moral yang sejagat tidak dapat dicapai dengan mudah sekiranya tuntutan zaman ini tidak dipersembahkan kepada Raja-Raja,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast