HULU TERENGGANU, 5 Ogos -- Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (tengah) bersama para pemimpin dan anggota UMNO melaungkan kata-kata semangat selepas merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari (lima, kanan) -- fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA BERANG – Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu hari ini bersetuju meletakkan calon wanita dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merangkap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keputusan itu diambil selepas mempertimbang cadangan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Terengganu merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Fatimah Mamat.

“Kita juga akan turut mencadangkan beberapa calon daripada wanita untuk bertanding dan selebihnya kita akan serahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan perkara berkenaan.

“Setakat ini, kita belum memutuskan jumlah calon wanita yang bakal diletakkan tapi insya-Allah kita akan segera membuat penilaian dan keputusan bagi calon yang layak,” katanya pada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap ADUN Ajil Ghazali Taib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Hulu Terengganu Johari Abu Bakar.

Selain itu, Ahmad Razif turut melancarkan jentera Jalinan Rakyat bagi Parlimen Hulu Terengganu dalam persidangan yang dihadiri oleh 130 cawangan bahagian itu.

Beliau berkata konsep Jalinan Rakyat ini adalah untuk menggantikan konsep Ketua 10 (K10) yang diguna pakai dalam Pergerakan Wanita UMNO.

“Ia adalah pendekatan yang lebih strategik hubungan kerana konsep ini lebih rapat dalam menghubungkan diri dengan rakyat.

“Maka disebabkan pembaharuan ini, saya yakin UMNO Bahagian Hulu Terengganu mampu menang besar iaitu 5-0 (4 DUN 1 Parlimen) dalam pilihan raya kelak,” katanya lagi.- BERNAMA