Mah Siew Keong mengadakan sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Gerakan negeri Selangor 2017.

PETALING JAYA – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencabar DAP mengumumkan calon Pilihan Raya Umum ke-14 lebih awal bagi membolehkan pengundi menilai keupayaan dan kredibiti mereka.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, selain daripada dapat menilai siapa yang sanggup bekerja keras, kaedah tersebut juga akan membezakan calon yang bercakap kosong.

“Lepas PRU13 lalu, kita mengumumkan calon dengan melantik penyelaras kami di kerusi tradisi Gerakan serta memulakan kerja keras di semua kawasan kita pernah kalah dan kerusi yang dipinjamkan kepada komponen BN.

“Saya sudah memberitahu kepimpinan tertinggi Barisan Nasional bahawa Gerakan sudah memulakan kerja sejak tiga tahun dahulu dan bekerja keras untuk rakyat supaya keseriusan kami dapat dilihat sendiri oleh pengundi.

“Saya mencabar DAP supaya biar kami dan rakyat mengetahui siapa calon kamu pada PRU14 nanti supaya pengundi pelbagai lapisan masyarakat dapat membuat perbandingan,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan negeri Selangor 2017 di Wisma BU8, Bandar Utama di sini.

Menurutnya, parti itu mengambil risiko menamakan dahulu calon dengan melantik penyelaras Gerakan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mengkritik dan menilai penyelaras sama ada dia sesuai mewakili masyarakat di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Dalam perkembangan sama, Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menggesa para perwakilan khususnya pemuda Gerakan untuk menggembleng tenaga dengan parti komponen BN yang lain untuk merampas Selangor pada pilihan raya akan datang.

Katanya, parti itu sudah menggerakkan jentera bersama parti komponen BN dan pasti akan mengekang kemenangan pembangkang di Selangor.

“BN pasti akan menang di Selangor selain memastikan Gerakan mempunyai wakil yang menang .

“Tiada makna jika BN menang tetapi tiada wakil Gerakan, itu adalah tamparan hebat kepada segala usaha kita selama ini yang mana kalah dalam dua PRU lalu di negeri itu.

“Gerakan perlu kekal relevan dengan para ahli dan pemimpin akar umbi perlu bekerja keras membawa mesej berfakta dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kali ini kita lebih serius dalam menafikan kemenangan ketiga pakatan di Selangor dan mengelak Gerakan catat sejarah pahit kalah kali ketiga di negeri itu.

“Kerajaan pakatan menunjukkan kelemahan mentadbir kerajaan negeri di Selangor dalam beberapa isu rakyat dan inilah peluang terbaik komponen BNmenggembleng tenaga memastikan pakatan terkubur di Selangor,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast