Jamil Khir Baharom

KUALA LUMPUR – Tugas seorang mufti tidak lagi akan termaktub kepada berkaitan agama Islam di negeri masing-masing sahaja.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kerajaan bercadang untuk menaikkan taraf mufti di seluruh negara sebagai Exco di negeri masing-masing bagi memberikan pandangan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri kelak.

“Kerajaan mencadangkan supaya mufti-mufti diberikan taraf Exco diperingkat negeri masing-masing kerana menerusi pandangan mereka ini di dalam mesyuarat Exco boleh disalurkan kepada kerajaan.

“Kita ada tujuh kluster dalam memperindahkan kerajaan. Di peringkat (Majis Perundingan Islam – MPI) pelbagai pihak tanpa mengambil kira landasan politik, mereka boleh beri pandangan, kerajaan terima semua pandangan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman hari ini.

Cadangan itu pernah diputuskan pada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 2012 di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam cadangan itu, jawatan mufti akan dinaik taraf setara dengan Exco kerajaan negeri malah akan menerima faedah yang serupa diperoleh Exco.

Proses naik taraf jawatan itu akan diuruskan di peringkat negeri dan akan dilaksanakan sebaik mendapat perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri masing-masing. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast