Kes jemaah haji yang terkandas ekoran tidak memperoleh visa telah selesai sepenuhnya.
BESUT – Kes jemaah haji yang terkandas ekoran tidak memperoleh visa telah selesai sepenuhnya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, kes sedemikian pertama kali berlaku sejak 54 tahun Tabung Haji (TH) menguruskan jemaah haji namun ia dapat diselesaikan dengan pantas hasil hubungan baik antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi.

“Kita telah berjaya mengawal keadaan dan selesaikan perkara ini. Ia melibatkan visa yang diproses oleh Arab Saudi dan bukannya TH tetapi kita terpaksa mengambil tanggungjawab kerana ia melibatkan kos penginapan yang akan meningkatkan kos operasi haji tahun ini.

“Setakat ini, kita dapati setiap penerbangan itu akan ada yang tercicir namanya daripada senarai yang mendapat visa yang diproses Arab Saudi, tetapi alhamdulillah kita dapati ia semakin baik dan kebanyakannya telah berangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat empat penuntut yang merupakan ahli Mahasiswa Kelantan (HIMSAK) di Hospital Daerah Besut yang cedera ekoran terlibat dalam tragedi bot terbalik berhampiran Pulau Rhu, di sini, semalam.

Mengenai tragedi tersebut, beliau berharap siasatan segera dapat dilakukan sambil melahirkan rasa simpati kepada mereka yang terlibat kerana HIMSAK bernaung di bawah Perhubungan UMNO Malaysia.

Dalam kejadian tersebut, bot pelancong yang membawa 15 penumpang terdiri daripada penuntut beberapa universiti Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan pegawai HIMSAK dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian ke Jeti Kuala Besut setelah menyertai program anjuran UMNO Kelantan.

Bot tersebut tiba-tiba terbalik hingga mengorbankan Norhasibah Husna Ibrahim, 21, yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) manakala enam orang lagi cedera.

— BERNAMA