KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengatasi penurunan harga lada di pasaran, termasuk menetapkan satu paras harga sekiranya harga bahan itu terus jatuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata selepas harga lada ditetapkan pada satu paras, kerajaan seterusnya akan memberi bantuan sewajarnya kepada pekebun lada.

“Selain memberi insentif dan input kepada mereka, Lembaga Lada Malaysia (MPB) turut menyediakan kilang bagi pekebun menyimpan hasil lada dan menjualnya ketika harga lada naik,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Joseph Salang Gandum (BN-Julau) yang ingin tahu langkah dan tindakan MPB dalam menghadapi situasi penurunan harga lada dan nasib peladang industri itu.

Sementara itu, menjawab soalan Salang mengenai persediaan kementerian bagi meletakkan MPB di bawah Kementerian Pemodenan Pertanian Negeri Sarawak memandangkan lada merupakan hasil keluaran pekebun dari negeri itu, Datu Nasrun berkata MPB bertanggungjawab menerajui industri lada di seluruh Malaysia, seperti yang termaktub dalam Akta Lembaga Lada Malaysia (Akta 656).

“Sekiranya MPB diletakkan di bawah kementerian yang disarankan, kawal selia industri lada hanya terbatas kepada bidang kuasa negeri sahaja, sedangkan peningkatan keluasan tanaman lada bukan hanya di Sarawak tetapi juga di Semenanjung dan Sabah.

“Tanaman ini akan diperluaskan di kawasan utara Semenanjung dalam masa terdekat bergantung kepada peruntukan yang akan diluluskan dan kesesuaian tanah,” katanya.- BERNAMA