Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan penganjur sebuah NGO pro-Pas, Pertahan kerana tidak memberi mereka tempat dalam dialog bertajuk Wacana Terbuka.

Susulan itu, Pemuda PH akan memboikot dan tidak menghadiri dialog tersebut sebagai bantahan sikap tidak profesional NGO tersebut yang kononnya bermatlamat untuk menghimpunkan ketua-ketua pemuda negeri.

“Pemuda Pakatan Harapan Kelantan yang diwakili oleh Jeming Hassan dari Pemuda PAN Kelantan, Asran Alias dari Armada PPBM Kelantan dan Hafidz Rizal dari AMK Kelantan tidak akan hadir ke program Wacana Terbuka anjuran Pertahan, sebuah NGO pro-Pas.

“Tindakan ini dibuat berikutan sikap tidak profesional pihak penganjur yang langsung tidak mahu menjemput Ketua Pemuda PAN Kelantan bagi menyertai wacana tersebut, walhal program itu diwar-warkan sebagai menghimpunkan Ketua-Ketua Pemuda Negeri bagi mewakili parti masing-masing untuk berwacana di atas tajuk Kelantan Ambang PRU-14, Parti Mana Bela Rakyat,” kata Pemuda PH dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda PH juga mempersoalkan tindakan penganjur yang menafikan jemputan kepada Ketua Pemuda PAN Kelantan walaupun pada awalnya sudah berunding.

“Sikap tidak profesional oleh pihak penganjur yang menafikan kehadiran Ketua Pemuda PAN Kelantan walau sudah berlaku perundingan agar wakil Pemuda PAN Kelantan juga diberikan slot dalam program itu, menjadi sebab utama kenapa program sebegini sebenarnya sekadar membuang masa dan langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan Pas Kelantan juga dibidas tidak layak untuk bercakap mengenai soal untuk membela rakyat apabila mereka sendiri juga melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat di negeri tersebut.

“Pas dan UMNO seharusnya insaf, apabila berbicara tentang tajuk Bela Rakyat, sebenarnya kedua-dua parti yang sedang memerintah sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat seharusnya muhasabah diri, sejauh manakah keberkesanan dan kerja buat mereka dalam membantu rakyat?

“Pas di Kelantan sehingga kini masih gagal menyiapkan Rumah Mangsa Banjir yang dijanjikan sejak dari 2014 lagi, isu tanah Kampung Laut masih belum selesai masalah pampasannya, masalah Pasar Besar Pasir Puteh masih tergantung nasib peniaganya, Kampung Chepa dalam isu Lembah Binjai masih belum ditarik balik warta pengambilannya.

“Maka sepatutnya Ketua Pemuda Pas Kelantan harus cermin diri dan selesaikan masalah ini dahulu sebelum berani berwacana dengan tajuk sedemikian, usah berlagak bagaikan ayam jantan berkokok berdegar-degar tapi ekor bergelumang tahi,” katanya lagi.

Oleh sedemikian, Pemuda PH juga menggesa supaya rakyat menolak Pas dan UMNO dalam pilihan raya umum depan kerana kegagalan mereka membela nasib rakyat di Kelantan.

“Pemuda Pakatan Harapan Kelantan menyeru seluruh rakyat agar menolak kedua-kedua parti ini yang jelas terbukti gagal dalam membela nasib rakyat Kelantan khususnya, tidak salah untuk negeri Kelantan diberi nafas baru pada PRU 14 akan datang, di mana ada kemahuan untuk perubahan, di situ ada jalan untuk merealisasikan harapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette