Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

ALOR SETAR – Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak April lepas amat berkesan dalam usaha mendekati pengundi bagi memudahkan kerajaan menyelesaikan permasalahan mereka.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata ini kerana berdasarkan pelaksanaan JR Pergerakan Wanita parti itu yang lepas sebelum ditransformasikan kepada JR Plus, ia diterima baik dalam kalangan rakyat.

Shahrizat berkata menerusi gerak kerja jentera itu, anggota UMNO memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan turun dari rumah ke rumah bagi mengenal pasti permasalahan yang dihadapi dan bukannya mendekati mereka untuk menghasut serta menabur fitnah.

“Kenapa jentera politik Wanita (UMNO) ini amat efektif? Jentera politik Wanita sekian lama ini (merupakan) jentera perkhidmatan untuk rakyat…membantu memberikan khidmat kepada rakyat. Sekarang kita melalui transformasi dibawa masuk perdana menteri, kita bergabung Pemuda, Puteri dan Barisan Nasional menjadi satu keluarga turun ke bawah.

“Indahnya JR dan JR Plus ini…pada saya (ia) diterima baik pengundi (rakyat) kerana ia merupakan perkhidmatan, kita jumpa rakyat untuk ketahui masalah rakyat, apa diperlukan mereka serta apa mesej yang mereka hendak sampaikan kepada pemimpin. Kita bantu selesai masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran gerak kerja JR dan JR Plus Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri BN peringkat negeri di sini semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Pengerusi BN negeri.

Shahrizat berkata sehubungan itu, anggota UMNO diingatkan supaya terus bersemangat dan berfikiran rasional dalam menggerakkan jentera JR Plus biarpun berdepan pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan pihak lawan.

Beliau mengingatkan pemimpin dan anggota UMNO terutamanya jentera Wanita, agar tidak gentar dan berasa lemah semangat dengan cubaan pembangkang yang ingin memecahbelahkan perpaduan mereka.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast