BANGKOK – Sebuah akhbar tempatan menuduh Malaysia memperkecilkan kehebatan Thailand dalam acara sepak takraw dengan mengehadkan jumlah acara yang boleh disertai oleh negara peserta pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Akhbar tempatan berbahasa Inggeris, `The Nation’ dalam lidah pengarangnya semalam mendakwa Malaysia, selaku tuan rumah, telah meminta Thailand tidak menyertai acara berpasukan lelaki, yang dianggap acara paling penting dalam sukan itu.

“Dilaporkan, tuan rumah mendapat keistimewaan menyertai kesemua lima acara manakala negara lain dibenarkan menyertai tidak lebih daripada tiga acara,” menurut akhbar itu.

Ia berkata, Persatuan Sepak Takraw Thailand telah tunduk kepada permintaan Malaysia dan akan menamakan pemain dalam tiga acara – acara berpasukan, beregu dan kuadran.

Menurut akhbar tersebut, ramai peminat sukan tempatan marah dengan tindakan itu yang dianggap berat sebelah dan menonjolkan amalan lama yang memberikan tuan rumah memiliki kelebihan berbanding negara peserta lain.

“Amalan ini akan hanya menimbulkan kemarahan negara peserta dan rakyatnya dan ia tidak akan berakhir kecuali semangat kesukanan yang sebenar dihormati,” kata akhbar tersebut.

Malaysia akan menjadi tuan rumah KL2017 dari 19 hingga 30 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast