M. Sambanthan

KUALA LUMPUR – Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) menyatakan kesetiaan kepada Barisan Nasional dan berikrar akan membantu parti pemerintah itu mendapat mandat besar pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Presidennya, Datuk M. Sambanthan berkata, parti itu akan terus setia kepada BN walaupun tiada kerusi diperuntukan pada pilihan raya akan datang.

“Kami memperjuangkan hak dan permasalahan masyarakat India sejak parti ini diwujudkan oleh mendiang Tan Sri M.G.Pandithan 27 tahun lalu.

“Bagaimanapun perjuangan IPF untuk masyarakat India sebagai parti mesra BN masih diteruskan dan akan kekal setia selama-lamanya,” katanya kepada hari ini.

Beliau memberitahu, para pemimpin dan ahli partinya sedih kerana IPF masih tidak diterima sebagai parti komponen BN.

“Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan kesediaannya menerima IPF dan menggesa MIC berbincang, malangnya masih belum berlaku manakala komponen lain mengiktiraf perjuangan dan sumbangan kami.

“Jika IPF menjadi sekutu BN, ia akan memudahkan lagi usaha mengembalikan masyarakat India ke arah BN tercapai 100 peratus’ katanya.

Jelasnya, IPF akan kekal setia dan menyokong kepimpinan BN walaupun pada hakikat IPF masih berstatus mesra BN dan hampir pasti tidak akan mendapat kerusi bertanding pada PRU kali ini.

Beliau menyatakan, parti itu akan menerima pengiktirafan untuk perjuangan selama hampir tiga dekad namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Kita sudah menggerakkan jentera kerja IPF melibatkan sayap Pemuda, Wanita dan Majlis Tertinggi sudah pun turun padang berjumpa pengundi dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

“Ahli dan pemimpin IPF dilengkapkan dengan segala informasi dan input bernas untuk mematahkan dakyah dan fitnah pembangkang yang telah mempengaruhi rakyat selama ini khususnya pengundi India.

“Pembangkang kehabisan isu, jadi dia mengulangi isu lama 1MDB untuk memburukkan kerajaan dan gagal masalah rakyat di setiap kawasan Parlimen.

“Kali ini IPF akan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk meyakinkan pengundi India kembali semula kepada BN.

“Mereka juga diberikan pencerahan tentang segala pembangunan dan rancangan berkebajikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan BN untuk kesejahteraan rakyat.

“Sambutan positif pengundi India kian meningkat untuk BN kali ini kali ini dan itu akan menjadi penanda aras untuk IPF terus kekal relevan dalam menjuarai kepercayaan masyarakat India,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast