KUALA LUMPUR – “Politik jalanan telah menjadi satu unsur membimbangkan di negara kita ini..iaitu politik ganas, biadab, dan tidak menghormati orang lain,” demikian menurut bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Status itu dimuatnaik Rafidah sehari selepas pembatalan Program Nothing To Hide 2.0 yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Rafidah, tindakan beberapa pihak yang menimbulkan kekecohan di majlis itu disifatkan kurang ajar dan tidak hormat kepada individu yang pernah memimpin negara suatu masa dahulu.
“Pemimpin-pemimpin tanpa segan silu menunjukkan keangkuhan dan kuasa masing-masing..dengan tutur bahasa kasar, melulu dan tidak beralas cakap. Tidak langsung ada perasaan rendah diri dan sedar akan beratnya tanggungjawab yang dipikul apabila duduk dalam jawatan-jawatan tinggi.
“Orang yang lebih tua..pangkat Bapa kapada kita, di perkotak katik saperti budak-budak …tiada langsung adab dan sopan. Itukah contoh ‘kepimpinan’ yang hendak ditunjukkan kapada anak-anak muda? Dalam bahasa kasar…budaya kurang ajar?” soal Rafidah.
Dalam kejadian semalam, forum anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kecoh apabila hadirin yang tidak dikenali bertindak membaling kerusi dan botol air ke arah pentas ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin.
Kekecohan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam itu tercetus apabila individu berkenaan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Mahathir bersabit peristiwa Memali ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Ujar Rafidah lagi, keadaan politik seumpama ini sering kali dilihat di negara-negara dunia ketika di benua Afrika dan sebagainya.
Namun kini, situasi sama dapat dilihat dipamerkan segelintir masyarakat yang ‘bertuankan’ politik semata-mata, katanya.
“Sekarang kita sudah mula melihat politik dunia ketiga itu menular di negara kita Malaysia…negara yang diharap meningkat ke status negara maju dalam tiga tahun lagi!
Nampaknya jauh pemanggang dari api.
“Politik menjadi laluan dan alasan serta dorongan mencaci dan memburukkan orang-orang yang tidak sekawan,” ujar beliau. -MalaysiaGazette.
http://malaysiagazette.com/blog/2017/08/13/program-nothing-hide-2-0-huru-hara/