Datuk Dr.Mohd Naim Mohktar

BANGI – Sekiranya anak tidak sah taraf dibenar menggunakan nama bapa akan timbul isu integriti terhadap bapa berkenaan berhubung peranannya sebagai wali.

Menyentuh mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penggunaan nama bapa terhadap anak tidak sah taraf baru-baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Prof. Datuk Dr. Mohd. Naim Mohktar berkata, sekiranya perkara itu berlaku ia mengakibatkan ahli keluarga hasil daripada perkahwinan itu juga tidak sah taraf.

“Kita (mahkamah syariah) bimbang masalah integriti terhadap kelayakan wali itu, hakim Mahkamah Rayuan berpandangan ini persoalan pentadbiran dan persoalan ini mungkin boleh menjurus kepada soal hukum sekiranya tidak ada sikap amanah kepada bapa yang telah dibinkan anak tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel Bicara Persada ke 38, bertajuk Anak Tak Sah Taraf: Melindungi Maruah atau Mematuhi Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Persada Canselori hari ini.

Mengulas mengenai itu, Mohd. Naim berkata, masyarakat tidak seharusnya bimbang perkembangan tersebut kerana masih ada peringkat Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan mengenai penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Yang paling penting adalah menghormati keputusan-keputusan yang ada sebab kerajaan sudah membentuk institusi itu sendiri. Maknanya dengan jawatankuasa fatwa dengan kuasanya, mahkamah syariah dengan kuasanya, sivil dengan kuasanya.

“Dalam konteks pengharmonian tadi, saya sebut tentang pentinglah kita saling hormat-menghormati daripada sudut keputusan yang telah dibuat,” katanya merujuk kepada keputusan yang sama.

Pada 25 Julai lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Rahman, Tengku Maimun Tuan Mat dan Zaleha Yusof membenarkan rayuan pasangan itu yang memohon perintah mahkamah untuk mendorong ketua pengarah pendaftaran negara menggantikan nama ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak terbabit dalam sijil kelahirannya. -MalaysiaGazette.