Kekecohan yang berlaku ketika sesi soal jawab bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Mahathir Mohamad pada program "Nothing To Hide 2.0" di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. foto HAZROL ZAINAL, 13 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Insiden kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam semalam menjadi bahan jenaka bangsa lain terhadap orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah berkata, mereka mungkin sedang bertepuk tangan melihat percakaran yang berlaku sesama Melayu.

“Percayalah mereka hanya menunggu peluang dan ruang untuk menjalankan misi dan visi mereka, menggunakan ‘boneka’ yang mereka telah aturkan dalam kalangan kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shahar, apa yang lebih menyedihkan adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah membuat perpecahan terhadap orang Melayu sendiri yang sepatutnya dipertahan dan disatukan.

Katanya, lebih melucukan apabila UMNO yang merupakan sebuah parti Melayu dituduh menjadi penyebab kekecohan yang berlaku.

“Yang menganjurkan forum adalah PPBM, yang menapis orang masuk ke dewan adalah PPBM, moderatornya orang mereka, sekuritinya juga orang PPBM, hadirin yang hadir penyokong PPBM, yang menjawab soalan juga Pengerusi PPBM, akhirnya mengapa mahu menyalahkan UMNO akibat kekecohan sendiri?

“Mudah sungguh kerja PPBM, jika forum itu menjadi, mereka mendapat nama, bila dikutuk, UMNO dapat busuk.

“Begitu lah ‘modus operandi’ pihak pembangkang sejak zaman dulu dan kini ‘diperturunkan’ kepada Armada PPBM,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai kejadian itu Shahar berkata, kedegilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertegas mahu menganjurkan forum itu akhirnya memakan diri sendiri apabila Pengerusi mereka, Tun Dr. Mahathir Mohamad terkelu lidah menjawab soalan hadirin selepas ditanya berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, tidak cukup dengan itu, PPBM juga ‘diaibkan’ dengan kekecohan melibatkan insiden baling kerusi, suar dan sebagainya oleh ahli mereka sendiri selepas persoalan demi persoalan yang dijawab oleh Tun Mahathir seakan-akan ‘tidak mantap’ dan tidak meyakinkan mereka.

“Persoalannya di sini bagaimana kekecohan itu berlaku? Adakah kerana ada ‘sabotaj’ (yang kononnya dituduh adalah UMNO), atau benar ada orang-orang PPBM sendiri yang tidak berpuas hati dengan jawapan Tun Mahathir atau sebenarnya hanya satu langkah untuk menghentikan forum itu kerana takut ada lagi soalan-soalan panas yang tidak dapat dijawab Tun M?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.