BANGI – Demi menjaga keharmonian institusi kekeluargaan Islam, semua perkara berkaitan dengan agama rasmi Malaysia itu harus diselesaikan di mahkamah syariah.
Demikian pendapat Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Zakaria Stapa mengenai pandangan jawatankuasa itu terhadap isu penggunaan ‘bin Abdullah’ yang digunapakai oleh Jabatan Pendaftaran Negara sebelum ini.
“Perkara berkaitan dengan soal ‘bin’ ini telah dibawa ke mahkamah sivil, tidak dibawa ke mahkamah syariah. Orang yang berkaitan itu adalah Islam sepatutnya ia didengar di mahkamah syariah dan akan jelas mengenainya,” katanya kepada media selepas menjadi ahli panel Bicara Persada ke 38, Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Bicara yang bertajuk ‘Anak Tak Sah Taraf: Melindungi Maruah atau Mematuhi Syariah’ itu turut dihadiri Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Prof Adjung Datuk Dr. Mohd Naim Mohktar, Prof Madya Dr. Fariza Md Sham dari Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM dan Prof Madya Dr Zaini Nasohah dari Jabatan Syariah UKM.
Menurut Zakaria, perkara itu perlu sekiranya mana-mana keputusan mahkamah syariah dicabar oleh masyakat Islam di mahkamah sivil.
“Untuk menyelaraskan (keputusan mahkamah rayuan) supaya jangan timbul masalah pertindihan apa pun pertindihan bidang kuasa, sekarang ini kita ada dua bentuk perundangan.
“Ia sepatutnya diharmonikan supaya jelas dengan apa yang perlu dirujuk di Mahkamah Syariah perlu didengar di mahkamah itu, dan bukannya dia Mahkamah Sivil,” katanya lagi.
Beliau yang juga penyandang Kursi Sheikh di Institut Islam Hadhari UKM itu menegaskan, penggunaan nama bapa terhadap anak tidak sah taraf akan memberikan implikasi besar kepada institusi kekeluargaan yang jauh bertentangan dengan hukum syarak.
“Kalau anak itu anak perempuan yang tidak sah taraf dan dibinkan dengan nama bapa, maknanya dia tidak boleh jadi wali apabila nak kahwinkan anak dia nanti berdasarkan tidak sah taraf.
“Misalnya kalau dia jadi wali, itu akan menimbulkan masalah daripada segi keturunan dan tidak sah perkahwinan anak dia dan akan terus berzina. Itu masalah besar yang akan dihadapi keluarga itu.
“Mereka akan hidup dalam keadaan yang tidak sah daripada segi Islam. Dapat anak pun akan jadi anak zina. Masalah itu yang utama kerana masalah keturunan ini kena jelas,” katanya. -MalaysiaGazette.