KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dibidas sebagai gabungan pembangkang yang menghidap penyakit ‘amnesia’ kerana mengkritik membuta tuli usaha kerajaan menyediakan rumah untuk 400 keluarga bekas pekerja ladang kawasan pinggir Putrajaya.
Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR), Datuk M. Chandrakumanan berkata, tindakan pembangkang itu mengutuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razal menjijikkan dan ia diumpamakan meludah diri sendiri.
“PH menggunakan projek perumahan yang telah dilancarkan Najib semalam untuk mengutuk Barisan Nasional sebagai pemerintah tidak berpotensi membela komuniti India.
“Tindakan hipokrasi dan penyakit amnesia telah berjangkit pada pembangkang dan mereka perlu sedar pembangunan bandar pentadbiran Putrajaya adalah idea bekas Perdana Menteri yang kini top dog dalam Pakatan Harapan.
“Kalau pembangkang ikhlas dan mengambil berat tentang nasib komuniti India, segala kritikan dan soalan yang dilemparkan kepada Najib perlu dilontarkan kepada Tun M.
“Segala usaha dan pembelaan yang ditunjukkan Najib dan BN kepada 400 keluarga bekas pekerja ladang dengan projek rumah teres bernilai RM60 juta di Ampar Tenang, Dengkil adalah kesan daripada kegagalan Tun M membela nasib komuniti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Dalam isu sama, bekas pemimpin myPPP itu juga membidas tindakan tidka beretika pembangkang yang asyik goyang kaki tanpa kerja tetapi mengutuk kerajaan.
Katanya, Najib menghargai sumbangan dan pengorbanan 400 keluarga bekas pekerja ladang dari Putrajaya memberi laluan kepada pembangunan pentadbiran kerajaan Pusat di Putrajaya pada tahun 1996.
“Mereka telah ditempatkan di penempatan sementara di Taman Permata Dengkil. Hari ini Najib menghargai pengorbanan bekas pekerja ladang itu melaksanakan tanggungjawab BN dengan menyediakan rumah teres yang tetap sebagai mensejahterakan masa depan masyarakat India.
“Apa yang gagal dilakukan oleh Tun M telah dilaksanakan Najib sekali gus tidak mensia-siakan nambikei (kepercayaan) masyarakat India terhadap kepimpinan beliau,” ujarnya lagi.
Malah, Chandrakumanan juga menambah Najib merupakan pemimpin yang sentiasa bersama rakyat dalam menangani masalah mereka.
“PM kami bukan seperti pembangkang yang hanya tahu mengutuk orang lain tetapi sekadar tin kosong dalam membela nasib rakyat dan makan gaji buta sahaja,” tegasnya. – MalaysiaGazette