SERI KEMBANGAN – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahudin Ayub mendakwa pemimpin Pas kini mengikut telunjuk UMNO apabila cuba menimbulkan kembali insiden berdarah Memali.
Menurutnya, parti itu sengaja ‘memanaskan’ keadaan ekoran Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri semasa peristiwa itu berlaku telah berdamping dengan Pakatan Harapan ketika ini.
Katanya, Pas mungkin lupa insiden yang berlaku itu ada kaitan dengan presiden mereka sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Peristiwa itu sudah berlaku empat dekad yang lalu tapi apabila Tun Dr. Mahathir bersama dengan pembangkang maka perkara itu diungkit balik.
“Saya rasa itu permintaan yang selari dengan kehendak UMNO. Kenapa pula mereka nak jadi suara UMNO, sedangkan masa kejadian itu berlaku mereka telah jadi pemimpin PAS dan ia bukan sedikit masa.
“Kenapa tak pernah dinyatakan perkara itu dulu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional di The Mines 2 di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut Salahuddin berkata, tindakan Pas mengungkit kisah lama yang semakin dilupakan itu boleh menyemarakkan kembali perasaan dendam terhadap waris-waris yang terlibat dengan kejadian itu dan ia akan menimbulkan suasana tidak harmoni.
Menyingkap kembali kejadian itu, beliau berkata, Pas tidak wajar mengungkit kembali peristiwa berkenaan kerana penyelesaiannya sendiri telah dipersetujui melalui kertas putih antara kerajaan dengan pemimpin Pas terdahulu menerusi presiden, Allahyarham Datuk Fadhil Noor.
Katanya, perkara itu juga telah dibawa ke dalam mesyuarat Pas dan akhirnya mereka bersetuju dengan permintaan itu termasuk tidak akan mengadakan lagi sambutan mengingati peristiwa Memali selepas itu.
“Kalau Pas sanggup berdepan dengan perkara itu adakah mereka sanggup menjawab tentang kertas putih itu kerana tercetusnya peristiwa Memali itu adalah kerana amanat Haji Hadi sendiri atau mereka hendak tarik balik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2017/08/16/pas-gesa-tubuh-rci-siasat-peristiwa-memali/