Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Nexus, Bangsar. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dimansuhkan malah akan diperbaiki untuk menjadikan cukai itu lebih efisien pada masa akan datang.

Sistem percukaian itu, katanya, nyata memberi pulangan kewangan yang baik kepada kerajaan dalam menjana pendapatan negara, sekaligus menampung perbelanjaan membangun negara.

“Kita tidak akan tukar sistem ini kerana kita akan perbaiki yang akan lebih membuatkan GST efisien. GST baik untuk kerajaan dan generasi masa depan,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Persidangan UMNO peringkat Bahagian Lembah Pantai hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Harapan bercadang mahu menghapuskan cukai berkenaan jika berjaya menakluk Putrajaya.

Jelas Johari, pembangkang jangan hanya pandai bercakap dan menabur janji kepada rakyat, sebaliknya harus mengakui bahawa sistem percukaian ini banyak membantu melicinkan pentadbiran negara.

“Sistem ini tidak boleh tukar, kita akan kekalkan. GST merupakan satu sistem yang efisien di mana 171 negara telah perkenalkan.

“Yang mana tidak suka, kerana mereka tidak pernah bayar cukai kepada kerajaan, sebab itu mereka marah,” katanya.

Pada 2016, kerajaan memungut kutipan GST sebanyak RM 41.2 bilion iaitu melebihi sasaran RM38.5 bilion yang disasarkan kerajaan.

Bagi tahun 2017, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM42 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast