Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kira-kira 500 veteran dan anggota tentera menerima sumbangan subsidi penuh dari kerajaan untuk mengerjakan ibadah haji musim ini.

Mereka adalah daripada 1,100 jemaah haji dalam kalangan veteran dan anggota tentera yang akan berangkat ke tanah suci Mekah secara berperingkat menerusi tiga penerbangan tambahan khas hari ini, 27 dan 28 Ogos ini.

Menurut Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bagi musim haji tahun ini sebanyak 113 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa kira-kira 30,200 bakal jemaah haji ke Mekah.

“Kita menaiki penerbangan Malaysia Airline Berhad (MAB) dan Flynas. Penerbangan terakhir ke tanah suci bagi jemaah haji negara ini pada 28 Ogos ini.

“Kita berharap sepanjang berada di tanah suci nanti, bakal jemaah haji ini dapat menjaga nama baik negara dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji demi memelihara hubungan baik kedua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelepasan jemaah haji Kementerian Pertahanan ke tanah suci musim haji 1438 H.

Pelepasan rombongan bakal jemaah haji veteran dan anggota tentera itu dilakukan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Tabung Haji, Daruk Seri Johan Abdullah.

Kumpulan pertama daripada 1,100 bakal jemaah anggota tentera dan veteran ini menaiki penerbangan KT78B yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 1.55 tengah hari ini dan dijangka tiba jam 6.05 petang (waktu Arab Saudi).

Menurut Abdul Azeez, Tabung Haji memberikan subsidi penuh kos haji kepada kumpulan jemaah haji ini berikutan kerajaan Arab Saudi menyediakan kuota tambahan (kuota furada) kepada Malaysia.

Kata beliau, kuota itu diberikan atas dasar hubungan baik Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi menerusi rekod pengurusan haji cemerlang yang telah ditunjukkan Tabung Haji.

Mengenai kejadian kebakaran sebuah hotel di Mekah, Abdul Azeez berkata, kerajaan Malaysia yakin dengan tahap keselamatan dan langkah kesiapsiagaan yang diambil oleh kerajaan Arab Saudi, keselamatan jemaah haji seluruh dunia akan terjamin.

“Saya nasihatkan jemaah haji kita tidak perlu khuatir dan bimbang. Kita hanya berharap mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah ketika berada di tanah suci,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast