Datuk Shafien Mamat

SHAH ALAM – Polis mengesahkan ada menerima maklumat daripada orang awam mengenai dua lelaki iaitu penyokong bola sepak Myanmar mengalami kecederaan akibat dipukul sekumpulan lelaki  di tempat letak kereta berhampiran Stadium Shah Alam malam tadi.

Siasatan mendapati kedua-dua mangsa yang berumur 29 dan 34 tahun itu mengalami kecederaan pada muka dan bahagian badan akibat ditumbuk serta ditendang oleh kumpulan lelaki terbabit.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa adalah kumpulan kecil yang telah terkeluar dari kumpulan utama penyokong bola sepak Myanmar.

“Kedua-duanya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut. Salah seorang mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala seorang lagi masih dirawat di hospital.

“Siasatan dan operasi mengesan serta menangkap kumpulan lelaki terbabit giat dijalankan dan kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Beliau berkata, sementara siasatan dijalankan, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast