KUALA LUMPUR – AirAsia memperkenalkan laluan pertama ke Kolkata, India dari Johor Baharu yang akan mula beroperasi pada 28 November ini dengan penerbangan terus lima kali seminggu.
Laluan ini akan mengembangkan sambungan laluan dari hab selatan AirAsia yang merupakan laluan ke-15 dari Johor Bahru dan laluan antarabangsa keenam dari hab tersebut.
Sempena laluan baharu itu, AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua dari RM99 sehala di airasia.com untuk tempahan dari sekarang hingga 3 September 2017 untuk tempoh perjalanan dari 28 November 2017 hingga 28 Ogos 2018.
Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai merupakan rakan strategik AirAsia yang mapan dan syarikat penerbangan itu mahu menambah lebih banyak laluan antarabangsa dari hab Johor Bahru.
Selain laluan baharu antarabangsa itu, AirAsia telah menambah dua laluan domestik pada tahun ini iaitu Johor Bahru-Kuala Terengganu dan Johor Bahru-Langkawi.
AirAsia beroperasi dengan 150 penerbangan sehala seminggu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Selain Kolkata, AirAsia juga terbang ke lima lagi laluan antarabangsa dari Johor Bahru; Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta, dan Surabaya serta ke sembilan laluan domestik dari Johor Bahru; Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu, dan Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette