KUALA LUMPUR – Sekiranya pembangkang berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak, kepentingan masyarakat luar bandar akan diketepikan begitu sahaja.
Demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada lebih 10,000 warga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) hari ini.
Justeru katanya, rakyat tidak harus termakan dengan hasutan pihak pembangkang yang tidak boleh menerima prestasi baik Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat.
“Janganlah kita termakan dengan hasutan puak satu lagi tu. Yang akan menjadi kuasa dominan adalah DAP yang akan punya kuasa mutlak.
“Parti DAP tidak ada keutamaan untuk masyarakat luar bandar. Sebab itulah kita istiqomah berdasarkan kepada prinsip kesinambungan dan kestabilan politik dalam negara kita,” katanya dalam ucapan perasmian Himpunan JKKK/JKKKP dan JKKKP Orang Asli serta Anugerah Desa Perdana 2017 di Dewan Tun Razak, Pusat Perdagangan Dunia Putra hari ini.
Tambah Najib, BN yang meneraju kepimpinan negara tidak sesekali akan mengingkari mandat yang telah diberikan rakyat khususnya masyarakat luar bandar terhadap parti itu.
“Kalau kita boleh didik rakyat untuk berfikir secara rasional, rakyat akan faham bahawa kerajaan buat yang terbaik untuk rakyat Malaysia lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan kampung.
“Saya tidak akan tinggalkan pembangunan luar bandar dimana mesti diteruskan tapi mungkin pendekatan yang berbeza,” katanya.
Najib berkata, pemimpin di peringkat akar umbi seperti ketua kampung perlu memainkan peranan dalam merasai denyut nadi, kehendak dan aspirasi rakyat.
Malah, golongan itu perlu berperanan untuk memperbetulkan persepsi rakyat yang kini berdepan peperangan persepsi, bukannya peperangan realiti dalam dunia politik hari ini.
“Bila kita ada pembangkang yang suka menyelewengkan fakta ataupun main senjata persepsi sehinggakan yang tidak betul menjadi betul, yang batil menjadi benar dan kita selalunya menjadi mangsa kepada permainan seperti itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.