KIROV, Rusia – Seorang ahli perniagaan yang kecewa di Kirov, Rusia membayar hutang premium insurans berjumlah Ruble 46,700 (RM3,387) kepada jurusita dengan menggunakan 4.67 juta kopeck, duit syiling Rusia.
Perkhidmatan Jurusita Persekutuan (FSSP) berkata, individu yang berhutang itu perlu melepasi meja keselamatan di pintu masuk beberapa kali bagi menghantar wangnya itu, lapor RT.
“Bagi membayar semula hutang, dia membawa (enam atau tujuh) karung bank yang berat dan satu kotak penuh berisi syiling satu kopeck,” Kata FSSP dalam satu kenyataan.
Kopeck 100 bersamaan Ruble 1, bermakna ahli perniagaan yang tidak mahu dikenali itu menggunakan 4,670,000 duit syiling untuk membayar hutangnya yang berjumlah Ruble 46,700.
Menurut jurusita itu, lelaki itu mengambil tindakan tersebut semata-mata mahu menunjukkan kekecewaannya terhadap pembayaran tunggakan.
“Dalam perbualan, individu yang berhutang itu mengesahkan dia sengaja menukar wang kertas kepada duit syiling untuk menyukarkan lagi kerja FSSP,” kata satu kenyataan.
Bagaimanapun, FSSP menegaskan ahli perniagaan itu tidak menunjukkan sebarang emosi kepada jurusita yang mengendalikan kes tersebut, ketika pembayaran diterima.
Beberapa kakitangan diperlukan untuk mengira syiling dan ahli perniagaan itu terpaksa berada dalam pejabat sehingga mereka selesai mengiranya, tambahnya.
FSSP berkata, pihaknya menerima pembayaran yang dilakukan dengan syiling dan wang kertas dan cara yang lebih mudah ialah dengan pembayaran dilakukan menggunakan laman sesawang agensi itu.
Pada Januari 2016, sebuah syarikat pengangkutan Rusia di wilayah Nizhny Novgorod membayar hutang berjumlah Ruble 100,000 dengan menggunakan duit syiling seberat 300 kilogram. – Agensi.