Atlit Malaysia, Elena Goh Ling Yin terharu selepas menjuarai acara 10,000 meter jalan kaki wanita akhir pada Sukan SEA KL 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. foto SAFWAN MANSOR, 23 OGOS 2017

KUALA LUMPUR –  Atlet jalan kaki wanita, Elena Goh Ling Yin menamatkan kemarau 18 tahun kilauan emas acara 10,000 meter jalan kaki wanita dalam Sukan SEA selepas membuat kejutan di halaman sendiri pada Rabu.

Elena, 21 mencatatkan masa 52.21.50s, bagi meraih pingat emas menewaskan pemenang pingat perak Thi Bich Ha dari Vietnam yang mencatatkan masa 52.27.78s dan pingat gangsa, T Assawawongcharoen dari Thailand yang mencatatkan masa 53.17.10s.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas adalah melalui atlet veteran Yuan Yu Fang pada 1999, yang turut mencipta rekod baharu dengan catatan 42.22.05s dan masih belum dipecahkan sehingga hari ini.

Yu Fang yang turut membuat penampilan semula pada edisi kali ini bagaimanapun terpaksa menhentikan saingan seawal minit keempat selepas mengalami kecederaan.

Elina, 21, ketika ditemui pemberita selepas saingan berkenaan, berkata dia tidak menyangka akan memenangi emas kerana terpaksa berhadapan dengan pesaing sama yang ditemuinya pada edisi lepas.

Katanya, pingat yang dimenanginya didedikasikan kepada keluarganya yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti.

“Terima kasih kepada keluarga saya yang tak berhenti-henti menyokong, sanggup datang dari Melaka, ada yang mengambil cuti semata-mata untuk datang,” katanya.

Kemenangan kali ini juga mengubati kekecewaan penuntut Universiti Malaya dalam bidang  Pengurusan  Sukan itu yang gagal memiki sebarang pingat pada penampilan sulungnya pada Sukan SEA edisi lepas.

Pada penampilan pertamanya di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu dalam acara 20km jalan kaki, Elina terpaksa berpuas hati apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat ekoran kecederaan lutut kanan dan kiri.

Dia yang sepatutnya menyertai temasya dwitahunan itu di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2013  juga terpaksa melupakannya pada ketika itu kerana perlu memberi tumpuan terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Rekod terbaik beliau adalah 51 minit 42.42s yang dicatatkan pada April lepas di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast