KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat insiden Memali pada tahun 1985 berkemungkinan akan ditubuhkan apabila tiba masanya, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri tidak menolak RCI tersebut akan ditubuhkan tetapi sekarang kerajaan masih menunggu reaksi dan pandangan masyarakat selepas isu melibatkan insiden berdarah itu mula diperkatakan kembali sejak kebelakangan ini.
“Kita tak menolak dan ia boleh diadakan, namun ia mestilah didatangkan dengan kebaikan untuk kita dan mengetahui fakta dan kebenaran.
“Kita sedang menunggu reaksi dan pendapat masyarakat termasuk mereka yang terlibat sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad.
“Kita tidak menolak kemungkinan ada RCI mengenai Memali, keputusan tepat kita akan buat bila dah sampai masanya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC petang ini.
Peristiwa Memali pada 19 November 1985 mengorbankan 14 orang dan puluhan yang lain tercedera serta ratusan orang ditahan.
Dalam serangan polis terhadap orang kampung itu, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.
Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kekecohan semasa forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini tercetus kerana jawapan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati mereka yang hadir.
Mahathir, perdana menteri semasa peristiwa Memali kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan.- MalaysiaGazette