SUBANG JAYA – Peningkatan aplikasi teknologi, automasi, kecerdasan buatan dan robotik akan mengubah industri, pekerjaan dan cara kerja rakyat negara ini.
Demikian peserta persidangan Jom Niaga 2017: Wanita Penggerak Revolusi Industri Ke-4 diberitahu.
Mereka juga diingatkan bahawa banyak peluang akan datang bersama dengan kesan negatif yang tidak seimbang terutama kepada wanita.
Bagaimanapun, bagi mempersiapkan golongan itu dalam menguruskan perniagaan masing-masing, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) mengajak mereka menerusi siri dialog dan perbincangan mengenai cabaran yang dihadapi serta peluang disediakan untuk wanita bergelar usahawan.
NCWO tidak keseorangan dalam usahanya itu, apabila mendapat kerjasama daripada Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, yang turut menjayakan persidangan Jom Niaga sebagai tanda sokongan.
Persidangan sehari itu menyaksikan penceramah tidak asing lagi seperti Presiden NCWO, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin; Presiden Akademi Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Menurut Sharifah, menyedari kesan teknologi yang tidak dapat dielakkan pada sektor ekonomi dan masa depan usahawan, pihaknya menganjurkan persidangan Jom Niaga untuk mendedahkan kepada mereka kaedah memimpin dan mempersiapkan diri dengan pendedahan serta pengetahuan mengenai Revolusi Perindustrian keempat dan kesannya kepada wanita.
Katanya, wanita mempunyai sikap kerajinan dan boleh dipercayai, justeru, untuk berjaya, mereka harus diberi bimbingan dan dorongan.
“Dengan inisiatif bersama kerajaan, kami berharap wanita akan membuka jalan dengan pengetahuan yang diberikan dan merapatkan lagi jurang sebagai pemangkin.
“NCWO akan terus membantu dan membimbing wanita terutama usahawan ini untuk lebih berjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, usahawan wanita perlu mengoptimumkan kecanggihan kemudahan teknologi maklumat untuk memajukan perniagaan masing-masing termasuk bagi menembusi pasaran luar negara.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan, Nadira Mohd. Yusoff, persidangan itu diadakan bermatlamat menegakkan wanita dalam ekonomi bagi memastikan penglibatan mereka sebagai pembuat keputusan.
Kata beliau, untuk menyediakan peserta dengan lebih banyak maklumat mengenai topik itu, terdapat sesi panel yang membincangkan Pengenalan Perindustrian ke-4 dan Impak ke atas Wanita dalam Ekonomi Digital, Keusahawanan, Bakat dan Pekerjaan.
Sesi itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia, Ashran Ghazi dan Naib Presiden Keusajawanan Bakat dan Digital Malaysia Jabatan Hal Ehwal Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia TalentCorp, Sumitra Nai.- MalaysiaGazette