Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan lebih dari satu syarikat akan dipilih untuk mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kedai Rakyat 1 Malaysia antara kemudahan yang terdapat di UTC Keramat, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 MEI 2017.

Hamzah berkata, kementeriannya ketika ini sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk melihat kemampuan mereka bagi mengendalikan KR1M.

“Terdapat kemungkinan lebih dari satu syarikat akan dilantik untuk mengendalikan KR1M 2.0. Kami mahu syarikat yang diberi tanggungjawab mengendalikan KR1M mampu melakukannya dengan betul,” kata beliau semasa melancarkan majlis pecah tanah Hengyuan Refining Company (HRC) di Port Dickson hari ini.

Terdahulu, kontroversi melibatkan KR1M tercetus selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya kementerian terbabit menamatkan kontrak pengendali KR1M yang didapati menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.

KR1M yang diilhamkan Najib pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan.

Bagaimanapun baru-baru ini, pengendalinya, Mydin dilaporkan mendakwa syarikat itu mengalami kerugian besar mengendalikan KR1M. – MalaysiaGazette