SUBANG JAYA – Kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan pelbagai peluang kerja terutama berkaitan perniagaan kepada kaum wanita di negara ini.
Mereka antara golongan majoriti yang terlibat dalam pelbagai bentuk perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar pada dasarnya bangga dengan pencapaian wanita yang turut menceburi pelbagai bidang seperti aplikasi teknologi, automasi, pembuatan, industri dan berasaskan robotik.
Katanya, ucapan terima kasih atas kejayaan golongan itu seharusnya diberikan kepada Majlis Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri yang banyak memainkan peranan membabitkan wanita dalam bidang perniagaan.
“Wanita adalah golongan yang rajin. Mereka pandai dalam semua segi termasuk menguruskan perniagaan sama ada di peringkat kecil, sederhana mahu pun bertaraf nasional.
“Walaupun perangkaan menunjukkan penglibatan wanita dalam sektor pendidikan 72 peratus, kesihatan dan kebajikan sebanyak 73 peratus, mereka juga menguasai dalam bidang perniagaan,” katanya berucap pada Persidangan Jom Niaga – Wanita Penggerak Revolusi Industri Ke-4, di sebuah hotel di sini hari ini.
Program itu dianjurkan NCWO bersama Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita (KIW).
Turut berucap pada persidangan itu, Presiden NCWO, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.
Abdul Wahid yang menyampaikan ucapan dengan tajuk Peluang Untuk Wanita Dalam Ekonomi Masa Depan itu juga mahu wanita yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan supaya menyedari ia bukan suatu perkara yang mudah seperti dirangka dan dirancang.
Katanya, mereka akan berdepan dengan pelbagai ujian, cabaran dan dugaan, lebih lagi dalam era digital dan sistem internet yang semakin canggih.
“Semua ini harus dilalui oleh mereka dengan kekuatan diri dan semangat. Kalau lemah dan mudah patah semangat, mereka akan menemui kegagalan,” katanya.
Pada persidangan itu juga, peserta diberi peluang mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan melalui sesi Jom Cakap. – MalaysiaGazette