Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Pengukuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam ringgit merupakan faktor yang lebih mencerminkan kedudukan ekonomi negara berbanding dolar US memandangkan transaksi yang dilakukan oleh isi rumah, perniagaan dan kerajaan dibuat dalam mata wang tempatan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sambil menolak cadangan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia supaya KDNK diukur dalam dolar US sebagai cerminan yang lebih baik mengenai pertumbuhan ekonomi negara, beliau berkata kenyataan seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan dan mencerminkan pemahaman yang rendah mengenai bagaimana ekonomi berfungsi.

“Berdasarkan standard yang diterima pakai di peringkat antarabangsa, saya ingin menyatakan bahawa KDNK diukur dalam dolar US tidak relevan untuk ekonomi matang dan moden seperti Malaysia, atau pun KDNK sesuai diukur dalam dolar US untuk ekonomi yang tidak ‘menggunakan dolar’ dalam erti kata lain.

“Dalam mana-mana ekonomi yang bersandarkan kepada dolar, akan menyebabkan dasar kebebasan dan fleksibiliti sesebuah ekonomi akan hilang, sehingga menjejaskan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Johari berkata pengumpulan data KDNK Malaysia selari dengan standard antarabangsa seperti yang ditetapkan oleh Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa, dan kaji selidik dan pengumpulan data oleh Jabatan Perangkaan meluas dan merangkumi semua sektor ekonomi.- MalaysiaGazette