Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Muhkyi.

KUALA LUMPUR – Pas menegaskan parti itu tidak pernah memulakan tradisi pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya.

Sebaliknya, parti itu tetap menumpukan matlamat sejak ditubuhkan sehingga kini untuk menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.

“Dua hari lalu saya buat kenyataan bahawa Pas Selangor akan bertanding di 42 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ramai rakan-rakan daripada parti lain (pembangkang) sentap dengan kenyataan yang saya buat itu.

“Mereka memaki hamun saya dan masukkan ke dalam aplikasi Whatsapp dan hantar kepada kawan-kawan termasuklah yang ada dalam kerajaan negeri.

“Namun, ada juga yang mempertahankan kenyataan saya itu, alhamdulillah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pidato Anak Muda, Tsunami Hijau, di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah, di sini malam tadi.

Menurut Sallehen, tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang menyatakan bahawa Pas tidak serius untuk berlawan dengan BN ekoran kenyataan itu dilihat seolah-olah mahu membuka laluan kepada parti berkenaan menang dalam pilihan pilihan raya.

Bagaimanapun katanya, langkah Pas yang hanya meletakkan calon di 42 kerusi dengan tidak bertanding tiga penjuru sudah jelas membuktikan bahawa Pas sememangnya serius mahu menentang BN.

Dalam pada itu, Sallehen menyatakan bahawa beliau sengaja membuat kenyataan seperti itu kerana tahu bahawa ada pihak akan merasa tersentap dengannya.

Katanya, kenyataan yang sama pernah dibuat sebelum ini tetapi ia tidak memberi kesan sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya hanya mengulangi sahaja walaupun sebenarnya pertandingan itu adalah di 45 buah kerusi DUN tetapi saya kata ‘sekurang-kurangnya di 42 buah kerusi saja’.

“Itupun pihak akhbar telah tersilap lapor. Saya nyatakan kita bersedia untuk bertanding. Perkataan `bersedia’ itu merujuk kepada banyak perkara iaitu ia boleh dibincang dan dibahas,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast