SHAH ALAM – Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini, mengesahkan ada menerima satu laporan mengenai seorang lelaki iaitu penyokong bola sepak Indonesia mengalami kecederaan akibat dipukul beberapa lelaki di pekarangan stesen bas persiaran sukan awal pagi tadi.
Siasatan polis berhubung kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu mendapati mangsa berumur 30 tahun mengalami kecederaan ringan pada tangan akibat ditumbuk suspek.
Ketua Polis Daerah, ACP Shafien Mamat berkata, mangsa adalah dari kumpulan kecil yang menunggu bas untuk balik ke rumah mereka selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.
Katanya, ketika sedang menunggu bas, mangsa didatangi sekumpulan penyokong Malaysia yang membuat kecoh.
“Ketika mangsa cuba melarikan diri, kumpulan penyokong Malaysia itu tiba-tiba memukulnya, akibatnya mangsa mengalami kecederaan di tangan dan dihantar ke Hospital Shah Alam (HAS) untuk rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Shafien, polis IPD Shah Alam kini menjalankan siasatan dan melakukan operasi mengesan serta menangkap suspek terbabit.
Kata beliau, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette