PORT DICKSON – Seorang lelaki lemas apabila bot yang dinaiki bersama dua rakannya pecah ketika hendak pergi memancing berhampiran Pantai Tanjung Gemok, dekat sini, hari ini.
Pegawai Bomba Kanan Dua Balai Port Dickson, Abd Rahim Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 4.48 petang tadi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
“Ketika pihak kami sampai di lokasi kejadian, mangsa diselamatkan oleh nelayan bot lain yang berada berhampiran lokasi bot pecah tersebut.
“Mangsa lemas kemudian dibawa ke pesisir pantai oleh orang awam dan diberi bantuan pernafasan mulut ke mulut sebelum disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Port Dickson,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Abd Rahim berkata, mangsa yang lemas itu berusia dalam lingkungan 60-an manakala rakannya berusia 53 dan 34 tahun.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat manakala dua rakannya menerima rawatan di hospital sama.
“Kedua-dua lelaki yang selamat itu berada dalam keadaan trauma kerana terkejut dengan kejadian itu,” katanya. – Bernama