Maskot boiboy dan rakan-rakannya.

KUALA LUMPUR – Kontinjen animasi yang akan menyertai perarakan dan perbarisan pada Hari Kebangsaan 2017 dijangka bakal menjadi tumpuan ramai apabila turut disertai 26 maskot watak utama animasi terkenal negara.

Penyelaras Kontinjen Animasi Nik Ramzi Nik Hassan berkata maskot yang akan menyertai perarakan itu merupakan gabungan watak utama daripada 15 syarikat animasi tempatan.

“Kalau kontinjen lain membuat penampilan yang lebih serius, bersifat kedewasaan, kami (kontinjen animasi) pula lebih memfokuskan kanak-kanak dengan penampilan maskot ini.

“Antara maskot yang akan ditampilkan ialah BoboiBoy, Chuck Chicken, Kluang Man, Awang Khenit, Didi and Friends serta Chichi dan Chacha.

“Sebelum ini kita hanya tampilkan 16 maskot, tetapi kali ini sebanyak 26 maskot akan berarak bersama,” katanya ketika ditemui Bernama pada raptai Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka di sini.

Nik Ramzi, yang juga Penolong Pengarah Kreatif dan Produksi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), berkata apa yang lebih menarik, maskot berkenaan akan bersama-sama menyanyi serta menari lagu bertemakan kemerdekaan yang telah disusun semula lirik serta rentaknya.

Beliau berkata selain maskot tersebut, tiga belon gergasi watak animasi Ejen Ali, Omar dan Ummi serta enam basikal roda tiga juga akan dibawa masuk pada perarakan itu.

“Secara keseluruhannya seramai 200 peserta akan mewakili kontinjen ini yang mana mereka terdiri daripada pengendali belon gergasi, maskot serta pengiring.

“Penonton juga akan dipersembahkan video animasi khas pada sambutan Hari Kebangsaan ini dan kita yakin watak-watak maskot ini sememangnya ditunggu-tunggu dan inilah masanya untuk orang ramai mendekati watak utama animasi yang selama ini mereka hanya dapat menontonnya di televisyen, “katanya.- BERNAMA