PUTRAJAYA – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) 10 kru kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) USS John S McCain yang hilang di perairan Teluk Ramunia, Johor, ditamatkan sepenuhnya pada 9.30 pagi tadi.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, ia susulan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Komander Armada ke-7 Tentera Laut Amerika Syarikat (US NAVY) yang mengatakan bahawa kesemua 10 mayat anak kapal yang dilaporkan hilang itu telah dijumpai di ruangan dalam kapal berkenaan oleh Pasukan Penyelam US Navy dan Kor Marin AS.

“Kenyataan itu juga telah disahkan oleh Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sejurus kenyataan yang dikeluarkan oleh Komander Armada ke-7 Tentera Laut Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi Isnin lepas di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor, kapal USS John S McCain berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia, menyebabkan lima kru USS John S McCain cedera dan 10 lagi hilang.

Operasi SAR yang meliputi keluasan 1,260 batu nautika persegi laut dan 1,400 batu nautika persegi udara ini melibatkan lebih 500 individu dengan kekuatan aset sebanyak 12 kapal dan bot serta lima pesawat udara yang terdiri daripada pelbagai agensi terlibat, katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, APMM merakam penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi terlibat dalam operasi selama empat hari yang bermula dari 21 hingga 24 Ogos iaitu APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) PDRM dan Jabatan Laut Malaysia.

Beliau turut menzahirkan rasa sedih dan simpati ke atas seluruh keluarga dan sahabat handai Tentera Laut Amerika Syarikat amnya dan khususnya kepada USS John S McCain atas insiden itu. – Bernama