Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia di PPB, semalam.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh Republik Korea Utara hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, pelancaran tersebut dibuat sebagai tindak balas kepada latihan pertahanan bersama tahunan yang diadakan oleh Amerika Syarikat dan Republik Korea.

“Tindakan provokatif ini merupakan pencabulan yang jelas terhadap resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Tindakan oleh DPRK ini hanya akan mengeruhkan ketegangan yang semakin meningkat di Semenanjung Korea,” sebut kenyataan itu.

Malaysia juga menegaskan tindakan Korea Utara turut melengahkan usaha masyarakat antarabangsa mengurangkan ketegangan dan mencari keamanan di rantau itu.

“Sehubungan itu, Malaysia menyeru semua pihak untuk mengawal tindakan masing-masing serta menekankan kepentingan untuk mewujudkan keadaan yang kondusif untuk dialog,” tegasnya.

Malaysia juga menggesa DPRK menghentikan sebarang pelancaran peluru berpandu, menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistik serta mematuhi sepenuhnya obligasi di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berkaitan demi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.- MalaysiaGazette