KUALA LUMPUR –Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Pas (PasRelief) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan berhimpun di Kedutaan Myanmar di sini, esok.
Perhimpunan bermula jam 11 pagi itu untuk mengiringi pimpinan Pas dan NGO berkenaan menyerahkan memorandum mengecam kekejaman Myanmar ke atas etnik muslim Rohingya yang terjadi pada waktu ini.
Himpunan dan penyerahan memorandum itu adalah anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Permas dan beberapa NGO lain termasuk peserta Food Flotilla For Myanmar (FFFM).
Pengarah PasRelief, Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, kira-kira 500 muslim Rohingya dibunuh dengan kejam, manakala rumah, madrasah dan perkampungan mereka dibakar, selain penduduk diusir dalam tragedi keganasan terbaru tentera regim Myanmar bersama pelampau Buddha Rakhine (Arakan Army) bermula 25 Ogos lalu.
Katanya, sebahagian besar penduduk di wilayah Buthidaung dan Rathidaung terpaksa melarikan diri ke hutan dan bukit bukau untuk menyelamatkan nyawa.
“Situasi mereka tidak dapat diketahui. Ramai wanita dan kanak-kanak turut dibunuh dan dibakar.
“Sebahagian mereka terpaksa membawa keluarga menyeberangi Sungai Naf bagi mencari perlindungan di kem pelarian di wilayah Ramu, Cox’s Bazaar, Bangladesh dan kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Sanusi, kekejaman penghapusan etnik Rohingya sejak 1948 itu berlanjutan hingga kini walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membuat ketetapan agar ia dihentikan.
Kata beliau, operasi tentera dengan sokongan Arakan Army itu turut menyaksikan lebih ramai menjadi mangsa berbanding operasi sama pada Oktober tahun lalu.
“Berikutan tragedi kemanusiaan terbaru ini, kita mengajak seluruh masyarakat dunia menggesa PBB segera campur tangan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berlanjutan ini.
“Kami juga menggesa ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan drastik bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda Muslim Rohingya di Wilayah Arakan (Rakhine),” katanya.
Muhammad Sanusi turut meminta kerajaan Malaysia mengaktifkan pelan kecemasan peringkat ASEAN dan negara muslim serantau bagi menekan regim Myanmar.
Kata beliau, bencana kemanusiaan yang sedang terjadi di Arakan pada masa ini akan melibatkan lebih ramai korban jika semua pihak terus berpeluk tubuh dan berdiam diri.
“Ayuh rakyat Malaysia, sertai himpunan aman dan menyerahkan memorandum mengecam kekejaman Myanmar yang sedang melakukan jenayah kemanusiaan terburuk dalam sejarah dunia,” katanya. – MalaysiaGazette