FGV

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM87 juta untuk suku kedua tahun kewangan berakhir berakhir 30 Jun 2017.

Menurut satu kenyataan, prestasi itu lebih baik berbanding kerugian sebanyak RM31 juta sebelumnya.

Katanya, bagi separuh pertama 2017, perolehan FGV naik sebanyak 8 peratus daripada RM7.9 bilion kepada RM8.55 bilion.

Keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 33 peratus kepada RM56 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh pendapatan tinggi daripada sektor perladangan dan logistik dan lain-lain.

Keuntungan sektor perladangan mencatatkan peningkatan memberangsangkan kepada RM148 juta untuk separuh pertama tahun ini berbanding kerugian RM9.69 juta pada tempoh sama tahun lalu dipacu oleh margin minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi -pengeluaran MSM meningkat 12 peratus dan kos pengeluaran MSM menurun 3 peratus.

Bagaimanapun prestasi positif ini terjejas dengan kerugian sektor gula disebabkan harga gula mentah yang tinggi dan rosot nilai belum diterima sebanyak RM47.62 juta serta peruntukan kerugian litigasi RM32.84 juta.

Ketika ini FGV dalam landasan betul untuk mencapai sasaran tanam semula sebanyak 14,000 hektar setahun yang mana sebanyak 10,000 hektar ladang telah ditebang.

Daripada jumlah itu 1,478 hektar ladang telah ditanam pada separuh pertama tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast